Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

Penyakit tangan, kaki dan mulut juga dikenali sebagai Hand, Foot and Mouth Disease (HFMD) adalah penyakit yang sering berjangkit dalam kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus daripada kumpulan enterovirus. Ia merebak melalui sentuhan secara langsung dengan air liur, cecair hidung, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan objek atau alatan permainan yang tercemar dengan virus ini.

Penyakit HFMD disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71). Penularan penyakit/virus HFMD adalah melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD. Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki. HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

Penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa saja terutama kanak-kanak bawah umur lima tahun. Jangkitan ini biasanya disebabkan amalan kebersihan diri kurang baik dan pendedahan kepada tempat atau persekitaran sesak yang mungkin meningkatkan lagi risiko penyebaran virus ini. Virus mudah merebak terutama pada awal minggu pertama jangkitan.

Taska dan sekolah adalah tempat yang sering berlaku penyebaran penyakit HFMD. Aktiviti harian seperti sukaneka dan kerja berkumpulan menyebabkan mereka bergaul rapat dan mudah dijangkiti.

Simptom

Individu yang dijangkiti penyakit HFMD biasanya akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, ruam melepuh pada kaki, tangan atau ulser pada mulut dan lidah. Kanak-kanak juga mungkin mengalami muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

Kebanyakan kejadian penyakit ini tidak serius. Namun, ada sesetengah kes membabitkan komplikasi teruk seperti masalah sistem saraf dan jantung. Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya timbul sebarang tanda dan gejala penyakit HFMD pada kanak-kanak agar rawatan yang sesuai dapat diberi.

Rawatan

Penyakit HFMD biasanya sembuh tanpa rawatan menggunakan ubat-ubatan dalam masa tujuh hingga 10 hari. Bagaimanapun, ada keadaan jangkitan yang menyebabkan komplikasi teruk dan memerlukan rawatan intensif.

Ada juga kes kematian disebabkan oleh jangkitan penyakit HFMD, namun ia jarang berlaku.

Tiada rawatan khusus untuk merawat penyakit HFMD. Bagaimanapun, rawatan untuk melegakan simptom boleh diberikan kepada pesakit. Ubat demam seperti Paracetamol boleh diberikan bagi mengurangkan suhu badan dan sebagai ubat tahan sakit sekiranya pesakit mempunyai simptom sakit-sakit badan dan sebagainya.

Selain itu, gel mulut juga boleh digunakan untuk mengurangkan rasa pedih yang disebabkan oleh kewujudan ulser di bahagian dalam mulut. Ruam di bahagian tapak tangan dan kaki lazimnya tidak gatal dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Seterusnya, pastikan kanak-kanak minum air yang secukupnya bagi mengelakkan gejala dehidrasi berlaku.

Pencegahan

Pada masa kini masih belum ada vaksin untuk mencegah jangkitan HFMD. Bagaimanapun, kita boleh mengawal penyebaran virus ini dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Ibu bapa dan penjaga seharusnya meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan tabiat mencuci tangan dengan betul guna air dan sabun sebelum menyentuh anak-anak, sebelum menyediakan makanan, selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis anak. Ini adalah penting bagi mengelak penyebaran penyakit HFMD.

Bagi mengelakkan kanak-kanak yang dijangkiti menyebarkan penyakit ini, ibu bapa dan penjaga kepada pesakit HFMD dinasihatkan untuk elakkan daripada membawa pesakit HFMD ke tempat awam agar penyakit ini tidak merebak.

Ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan untuk membawa anak yang disyaki menghidap jangkitan HFMD berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Penting untuk mengelakkan sentuhan secara langsung dan tidak langsung pesakit HFMD dan orang lain.

Anak juga harus diajar untuk menutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan apabila bersin dan batuk. Tingkatkan kawalan disinfeksi dengan mencuci alat permainan anak dengan agen pembasmi kuman serta elakkan perkongsian peralatan peribadi seperti tuala, sudu dan sebagainya kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.

Kesimpulannya, walaupun kadar penularan penyakit HFMD adalah tinggi, ia masih boleh dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan. Segera bawa anak berjumpa doktor jika mempunyai simptom HFMD dan lakukan langkah pencegahan supaya penyakit ini tidak merebak. Kebersihan langkah utama mencegah penyakit tangan, kaki dan mulut ini.

 

About the Author