Anugerah Kecemerlangan Jalinan (AKJ) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK)-Universiti Awam (UA) 2018.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Alawiyah, Kangar, Perlis dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) masing-masing dipilih menerima Anugerah Perdana Anugerah Kecemerlangan Jalinan (AKJ) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK)-Universiti Awam (UA) 2018.

Kejayaan itu membolehkan penerima kategori SKK dan UA berkenaan membawa pulang piala pusingan, sijil pencapaian dan cek bernilai RM1,000.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kecemerlangan, Aidie Jantan yang diadakan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah SBP dan Sekolah Kecemerlangan Shamsuddin Mustapha serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr Nazli Mahdzir.

“Kerjasama ini (SKK-UA) dapat memanfaatkan konsep bekerjasama antara akademik, industri, kerajaan dan komuniti untuk menyemai, membangun serta mengkomersialkan idea melalui ekosistem inovasi,” katanya.

Pada majlis anugerah kecemerlangan itu, turut menyaksikan Khamarul Azwan Mohd Nawi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak, Terengganu dipilih menerima Anugerah Kategori Tokoh Penyelaras SKK (Sekolah Rendah).

Sementara itu, Basyirah Omar dari SMKA (P) Alawiyah, Kangar menerima Anugerah Kategori Tokoh Penyelaras SKK (Sekolah Menengah) dan Wan Ismail Wan Abdullah dari UniSZA (Anugerah Penyelaras UA).

SK Taman Senangan turut menerima anugerah ini. Cikgu Mohd Roshidi Bin Zainol telah mewakili SKTS untuk ke Putrajaya bagi menerima anugerah berprestij ini.

AKJ SKK-UA 2018 bermatlamat membudayakan penyelidikan, memperkembang dan mengukuh jaringan dan jalinan, perkongsian amalan terbaik, merapatkan jurang kecemerlangan antara sekolah serta memperkembang kreativiti dan inovasi.

About the Author